Sunday, February 23, 2014

Chempaka #Ikan #Bakar air asam , citarasa #klasik #rakyat #Kelantan


Assalamualaikum,

Setelah sekian lama, kami menerima pertanyaan dari rakan facebook berkenaan dengan premis ikan bakar yang murah dan sedap di negeri Kelantan , akhirnya kami membuat penampilan sulung mengenainya.

Sebagai pengenalannya , eloklah dulu kita memahami akan jenis ikan bakar yang biasanya dikomersialkan. Terdapat 2 jenis masakan ikan bakar yakni ikan bakar air asam dan ikan bakar berempah. Ikan bakar air asam adalah ikan segar yang di bakar tawar terus untuk dicicah bersama air perahan asam limau/jawa manakala ikan bakar berempah dibakar bersama rempah ratus rahsia yang telah dikisar didalam foil aluminium atau daun pisang di atas kuali leper panas.


Kali ini, kami membawa anda untuk merasai citarasa klasik rakyat Kelantan yakni premis Chempaka Ikan Bakar air asam yang terletak di Kampung Dusun Raja , Kota Bharu Kelantan.

KLIK sini untuk rajah Google Maps dan GPS tepat lokasinya adalah 6.131349,102.272739


Premis Chempaka Ikan Bakar dimiliki oleh Kak Ti dan Abang Li yang telah 5 tahun menjalankan perniagaannya . Premis ini dalam proses penambahbaikan dalam memenuhi kepuasan pengunjung yang setia datang.

Variasi ikan segar bakar yang dihidangkan di sini adalah seperti ikan siakap, bawal, kembung , cencaru , ikan selar , kerapu, sotong, kerang dan bermacam-macam lagi. Ke semua sumber ikan tersebut diperoleh terus dari sumber nelayan sekitar Pantai Sabak dan Tok Bali setiap hari.



Cara basa menikmati ikan bakar air asam ini adalah cukup ringkas, di mana ikan bakar di cicah ke dalam air asam yang cukup sederhana rasa asamnya atau pelanggan boleh memilih untuk mencicah isi ikan kedalam piring sambal belacan yang di campur dengan kicap kipas udang menjadikannya mulut bersiul dan peluh di dahi menjadi ukuran tahap kesedapannya . Manakala nasi putih panas sememangnya cukup rasi dengan kuah ikan singgang ,budu dan ulam, sungguh klasik seperti santapan orang tua Kelantan di zaman silam.

Dalam proses penambahbaikan premis ini, pelanggan juga boleh menunaikan solat kerana pemilik telah menyediakan sebuah bilik untuknya. Suasana di sini agak nyaman kerana trafik yang agak lengang ditambah pula dengan kicauan burung peliharaan pemiliknya.

Chempaka Ikan Bakar di buka 6 hari seminggu bermula pada pukul 5.00 petang sehingga 2 pagi kecuali 1 hari cuti yang dipersetujui bersama antara majikan dan kakitangannya.

Harga yang di tawarkan pula adalah berpatutan mengikut berat timbangan dan jenis ikan yang dipilih pelanggan . Kaitan gambar yang teratas adalah cukup jelas untuk pertimbangan pelanggan. Dengan ikan kembung seberat 200 gram bernilai RM5.00 , kuah+ikan singgang, sambal belacan+Kicap kipas udang, budu dan ulam adalah hanya 8-9 sahaja. Rasanya cukup berbaloi memandangkan harga ikan kembung mentah segar di pasaran pun RM14 sekilogram.

Kesimpulannya, dengan merasai citarasa klasik ringkas unik ini , pelanggan boleh menilai akan jatidiri rakyat Kelantan itu sendiri. Insyaallah

Wassalam.

Saturday, February 15, 2014

Warung #Milo Tunggeng - Budaya Kedai Pat'ti menjadi stesen sosial #rakyat #Kelantan


Assalamualaikum.

'Warung' adalah nama standard bagi kedai kopi kecil di seluruh negara namun jika pengunjung bertandang ke Kelantan perkataan warung adalah sangat jarang digunakan, hanyalah kedai kopi atau kedai pat'ti sahaja yang dipertuturkan.

Terdapat ratusan kedai pat'ti berselarakan di seluruh Kelantan dan kini kami membawa anda ke Warung Milo Tunggeng yang popular di kalangan warga Kota Bharu. Warung Milo Tunggeng ini terletak di Jalan Dusun 2 , Belakang Hospital Pakar Perdana dan Hotel Perdana . Jaraknya pula dari Pasar Siti Khadijah hanya lebih kurang 1 km yang mengambil masa 5 minit perjalanan.

KLIK sini untuk paparan imej Google Maps dan koordinat GPSnya pula adalah 6.120431,102.242814

Pelik! Kenapa warung ini di namakan Warung Milo Tunggeng ?. Biarkan gambar yang berbicara.


Warung ini diasaskan oleh arwah Abdullah bin Ali yang menjadikan produk minuman Milo dalam tin (Original)sebagai entiti minuman utama walaupun milo paket dijual pada harga yang lebih murah dan mudah. Namun di sini, kualiti milo tersebut menjadi keutamaan demi kepuasan pelanggan. Al-Fatihah. Kini legasi 20 tahun Milo Tunggeng, di teruskan oleh anaknya yakni Abang Man Milo Tunggeng yang bersedia melayan kunjungan anda. Namun, apa yang istimewanya premis ini?




Boleh dikatakan hampir keseluruhan rakyat Kelantan amat-amat suka untuk singgah di kedai pat'ti kerana di sini makanannya adalah murah dan siap bungkus kepada siapa yang lorat untuk bergegas ke pejabat. Menjimatkan masa.

 
Makanan yang telah siap bungkus pula adalah berasal dari penduduk sekitar , yang mana aktiviti kedai pat'ti ini mewujudkan peluang ekonomi menang-menang sesama ummah. Di antara makanan yang di sediakan di sini adalah nasi berlauk ayam, daging, nasi lemak , nasi kampit , satay , nasi tumpang dan pelbagai kuih muih.


Selain itu, di sebalik makanan yang sedap dan murah , kedai pat'ti juga merupakan stesen hebahan maklumat penting rakyat Kelantan, di mana kemesraan mereka berputik dari pelbagai agenda seperti isu sukan, isu politik malah skandal . Jadi tak hairanlah kebanyakan wartawan Sinar Harian , Harakah, Utusan dan sebagainya bertandang ke kedai pat'ti untuk cetusan idea penulisan mereka .



Warung Milo Tunggeng ini beroperasi setiap hari kecuali hari Jumaat , ianya bermula pada pukul 6.30 pagi hingga 5.00 petang.

Pasal harganya pula , adakah pengunjung mahu berkira-kira dengan harga makanan RM 1, RM2 dan RM3.  Bagi kami, dengan bermodalkan RM5-RM6 sudah cukup memenuhkan ruang perut kami dengan nasi berlauk , milo tabur dan telur separuh masak . Alhamdulillah , penuh sarat dan sumber informasi pagi rakyat secara live .

Wassalam.

Thursday, February 6, 2014

Warung #Nasi #Ulam Cherang - Ibarat rasa #masakan ibu orang #Kelantan dahulu kala.


Assalamualaikum,

Pada musim cuti sekolah dan sambutan Tahun Baru Cina yang baru saja berlalu , kami dapati terdapat peningkatan yang agak ketara dari segi bilangan pelancong mengunjungi negeri ini . Terima kasih kami ucapkan dan segala kesulitan mohon dimaafkan. Insyaaallah , kami akan perbaiki akan kelemahan.


Kali ini, kami membawa anda ke sebuah 'Warung Nasi Ulam 'Cherang, Jalan Hospital menuju JPJ Panji, Kota Bharu yang boleh dilabelkan sebagai salah satu lagenda tempat makan orang Kelantan. Cherang? Masyarakat Kelantan  mengenali lokasi Cherang ini dengan label 'Cherang Wau Bulan ' kerana di sinilah letakknya replika wau bulan terbesar di Kelantan.
Perjalanan dari pusat bandar hanyalah mengambil masa 5 hingga 7 minit saja.

KLIK sini untuk rajah Google Maps dan koodinat GPSnya adalah 6.124338,102.271439




Nasi Ulam Cherang ini diasaskan oleh Abang Din dan Kak Nah pada tahun 1986 di mana waktu itu mereka memulakan perniagaan hanya dari sebuah warung 'kedai pati' dan kini Alhamdulillah mereka boleh menarik nafas lega.

Menjenguk masuk ke Warung Nasi Ulam Cherang sudah pastinya pelanggan tersenyum bilamana tersusun di atas meja penuh dengan daun kehijauan seperti ulam raja, petai, terung kecil, ulam pegaga, timun kecil dan kacang botol . Itu belum lagi tene , bendi, petai celor(rebus) yang sudah pastinya membuatkan anda pecah liur . Lantas dengan tu tak perlu tanya apa-apa lagi, ambil pinggan dan ambillah setakat mana mahu dan mampu anda memakannya. Layan diri. Amalan yang terbaik adalah jangan membazir , biar ngam-ngam licin sempurna.


Kecuali untuk lauk pauk pelanggan harus menunjukkan yang mana satu selera anda bermula dari ikan aya singgam, gulai lemak ikan talang (bergantung kepada stok sampai), kalau kena nasib ikan jemuduk dan ikan merah pun mantap. Gulai lemak daun kesom ikan keli dan sayur lemak putih pucuk paku bayam sudah pastinya mengetarkan jiwa bila berpalut dengan budu pedas asam limau diperisikan ikan bakar tawar . Orang kata apa ?? Peerghh!!!

Sebagai pemasinnya anda boleh memilih samada ikan keli, kembung, kerisi goreng , daging kicap , ayam masak berlada dan juga ikan percik. Fuh!! semuanya menyelera.  Terima kasih Kak Nah kerana memelihara citarasa.




Kekuatan premis ini adalah pada citarasanya. Rata-rata penggannya terdiri dari semua peringkat samada dari masyarakat kampung atau pun dari pegawai tinggi kerajaan mahupun dari mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Aziz bin Nik Mat singgah di sini.

Warung Nasi Ulam ini beroperasi pada setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Manakala dari segi harga cukuplah dengan dapat kami katakan hidangan untuk gambar yang teratas tak sampai RM20 untuk dua orang makan. Premis pada harga rakyat . Berbaloi.

Selain itu , kami juga sangat-sangat menantikan Ramadhan menjelang tiba kerana membolehkan kami membuat sesi fotografi akan satu lagi keistimewaan Warung Nasi Ulam Cherang ini iaitu 'COLEK' . Di sini adalah rajanya.


Wassalam


     
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tempat Makan Best Yang Lain Di Kelantan :

Get this widget