Assalamualaikum,
Laksam, anak Kelantan mana yang tak kenal laksam ?. Bagi kami , mengenali rasa laksam adalah sangat mudah tetapi membuatnya adalah payah. Kenapa kami berkata begitu?
Laksam merupakan suatu produk makanan yang masih menggunakan sepenuhnya kaedah tradisional, di mana tepung beras yang telah dibancuh sempurna dikukus di atas tudung periuk selama beberapa minit di dalam kukusan bertingkat pastinya mengambil masa untuk menyiapkannya. Tambahan kuahnya pula terdiri dari santan pekat dimasak bersama cebisan ikan yang direbus sempurna rasa. Sebab itulah laksam tiada nama lain di belakangnya. Laksam adalah laksam. Hanya di Kelantan.
Kali ini kami membawa anda ke sebuah kedai makan yakni Restoran By-T Laksam Special di Jalan Panchor-Panji (Jalan Raja Perempuan Zainab II) , Pengkalan Chepa . Lokasi restoran ini adalah lebih kurang 9 km dari Lapangan terbang Sultan Ismail Petra dimana pengunjung perlu menempuhi jalan kawasan Perindustrian Padang Tembak.
KLIK sini untuk lokasi Google Map dan titik GPSnya adalah 6.13216,102.303676
By-T Laksam adalah suatu nama yang agak pelik. Namun setelah sejam di premis ini, sempatlah kami menanyakan akan asal usulnya. Pemilik premis ini adalah Puan Suriana bt Hamzah . Beliau menyatakan bahawa nama By-T ini, diambil sempena anak sulung pertama mereka iaitu Siti Nor Baiti bt Zamri . Satu nama yang cantik. Kak Na telah menjalankan perniagaan laksam ini selama 18 tahun.
Sejurus kami menjalankan sesi fotografi, premis ini dikunjungi oleh seorang pegawai polis trafik yang memperkenalkan laksam By-T kepada pegawai atasannya. Kami sungguh teruja dan bila ditanya kepada Kak Na akan senario ini, Kak Na hanya tersenyum merendah diri. Kak Na menceritakan bahawa suatu ketika dahulu orang dari istana pun pernah menempah laksam untuk santapan Tuanku Sultan Ismail Petra Al-Sultan Kelantan . Selain itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah mengirimnya tatkala rasa mulut ingin nikmati laksam. Kami pun jua turut tersenyum.
Ditanya akan apakah resepi untuk menjadikan kuah lemak laksam begitu berjeliro . KaK Na hanya menjawab 'Kuahnya yang sederhana pekat , extra santan dan extra ikan , pastikan ianya segar' . Itu saja . Manakala ikan yang paling sedap untuk kuah adalah ikan selayang .
Restoran By-T Laksam Special ini memulakan operasi setiap hari kecuali Sabtu manakala waktu operasinya adalah bermula pada pukul 2.00 petang hingga 10.30 malam. Harga laksam special (telur puyuh dan sambal daging) adalah RM 3.50 manakala biasa adalah RM2.50 .
Selain dari laksam , pengunjung juga boleh membuat pilihan untuk menikmati Laksa Kelantan Kuah Lemak, Laksa Penang dan Nasi Kerabu.
Kami pasti jika anda membawa anak kecil menikmmati laksam pastinya mereka adalah orang yang paling gembira. Slllrrruupppp!!
Wassalam