Sunday, December 29, 2013

#Nasi Kukus Ziela ,Tawang. Singgahan menyelerakan sebelum berendam di #Pantai #Bachok .


Assalamualaikum,

Salah satu tarikan pengunjung ke negeri Kelantan adalah kerana keindahan pantai pasir halus memutih seperti Pantai Melawi, Pantai Irama dan Pantai Kemasin yang terletak dalam Daerah Bachok . Maka dengan itu , sudah pastinya pencarian tempat makan sedap menjadi keutamaan tatkala perut kosong dan mulut berselera.


Dengan itu kami memperkenalkan Ziela Nasi Kukus, Tawang yang sangat popular di kalangan penjawat awam dan penduduk sekitarnya. Premis ini terletak hanya 100 meter dari Balai Polis Tawang, Bachok.

KLIK sini untuk rajah dari Google Map dan koordinat GPSnya pula adalah 6.115369,102.357661



Foto di atas jelas menunjukkan premis ini begitu hampir dengan Balai Polis Tawang di seberang jalan sana. Nasi Kukus Ziela ini adalah sinambungan dari premis Nasi Dagang Ziela Pohon Kekuk , Kota Bharu cuma yang berbeza adalah premis ini di uruskan oleh adiknya Cik Ekin yang menjadikan nasi kukus lauk kampung sebagai menunya.

Pelbagai lauk pauk yang lazat di sediakan untuk anda secara layan diri antaranya adalah ayam goreng, ikan bawal/tenggiri masak masam manis,, daging goreng kampung, paru goreng, kerabu pucuk paku, gulai keladi ,pajeri nenas dan bermacam-macam lagi. Sudah pastinya memaniskan percutian pantai anda.



Nasi Kukus Ziela menjalankan perniagaan pada setiap hari kecuali Jumaat bermula pada pukul 11.30 pagi- 5.00 petang untuk nasi kukus dan 5.00- 11.00 malam untuk masakan panas.



Harga makanan dan minuman di sini adalah pada harga rakyat, bermula dari nasi kukus ayam goreng RM5.00 , pengunjung boleh membuat tambahan lauk pauk secara layan diri dan untuk hidangan seperti teratas hanya RM6-RM7 sahaja. Sangat berpatutan untuk bajet seisi keluarga.

Memang sangat berbaloi rasanya jika kita terlebih dahulu menjamu selera di sini sebelum berendam mandi manda bersama keluarga di pantai sekitarnya.

Wassalam

Friday, December 27, 2013

#Nasi Kukus Suriani #TRWFC , Semangat #Kelantan panaskan badan .


Assalamualaikum.

Nasi kukus. Pastinya gambaran dikepala nasi yang dikukus di dalam bekas kecil berasap panas di atas daun pisang dengan ayam goreng ketulan besar berempah dengan kuah campuran 2 3 jenis kari ...... Aduh!!......

Kali ini, kami kembali ke Kota Bharu dengan Nasi Kukus Suriani TRW sebagai pembuka selera. Premis hebat ini sangat mudah untuk dikenalpasti. Ianya terletak hanya di sebelah Stadium Muhammad IV di jalan menuju Hospital Raja Perempuan Zainab II.

KLIK sini untuk rajah pandangan peta Google Map.
Koordinat GPSnya pula adalah 6.1249,102.243222 


Nasi Kukus Suriani diasaskan bersempena nama samaran Kak Rosni Suhaika yang telah menjalankan perniagaannya selama lebih kurang 22 tahun. Satu pencapaian yang hebat dari seorang usahawan wanita.


Menjengah naik ke bahu kaki lima jalan premis ini, kita bakal menyaksikan aktiviti pembungkusan nasi kukus yang tak sempat menoleh kiri dan kanan hatta nak mengecam wajah pelanggan. Dengan bauan gulai kari dan ayam goreng sederhana berempah disusuli oleh haruman wap nasi beras thai cap arnab serindit pastinya membuatkan perut bertambah alunan keroncongnya.

Nasi kukus Suriani mempunyai citarasanya yang tersendiri. Ayam goreng yang dimasak sempurna rangup di luar dan ber'juicy' di dalam begitu diidamkan, dipadankan pula dengan nasi kukus panas di atas daun pisang dengan campuran 2 3 jenis kari. Fuh!! Mantap dan semangat untuk dimakan.


Premis beroperasi pada setiap hari kecuali hari cuti yang diperbincangkan bersama. Manakala harganya pula adalah sangat berpatutan. Nasi kukus ayam goreng standard (gambar teratas) hanyalah RM5.00 . Maka tak hairanlah jika ada perlawanan bolasepak Kelantan The Red Worrior , Kak Suriani mampu mengendalikan lebih 2000 bungkus nasi kukus demi memenuhi selera penyokong 'Gomo Kelate Gomo'

Jika ada pertemuan, pengunjung mungkin boleh makan bersama pemain Kelantan TRW kerana kekadang pemain pun turun makan di sini .Tiada sangsi, Kebersihan sangat di utamakan.

Alamilah sendiri kelazatannya. Welcome to Kelantan

Wassalam.

Wednesday, December 25, 2013

#Pasar #Lambak Gua Musang #Kelantan , kemasyhuran perniagaan #rakyat membawa berkat.


Assalamualaikum.

Sebagai penutup perjalanan kami dipersinggahan Gua Musang, kami dengan rasa teruja untuk berkongsi pengalaman bersama pembaca tentang Pasar Lambak Gua Musang yang masyhur.

Terletak di atas sebidang tanah yang luas oleh Majlis Daerah Gua Musang , kami yakin bahawa pasar ini merupakan pasar lambak yang terbesar di Kelantan dan yang terpanjang tempoh perniagaannya. Lokasi Pasar lambak Gua Musang ini adalah betul-betul di belakang Stesen Minyak Shell Bandar Baru Gua Musang(lebih kurang 300 meter). Pasar Malam ini menjalankan perniagaan pada setiap hari KHAMIS bermula jam 4.00 petang sehingga 11 malam kemudian di sambung keesokan  paginya JUMAAT bermula jam 8.00 pagi hingga 12 tengahari. Satu tempoh masa yang cukup panjang.

KLIK sini untuk carian rajah Google Map manakala koordinat GPSnya pula adalah 4.861325,101.957458

Pengunjung yang memandu jauh sudah tentunya memerlukan sumber makanan dan tempat bersantai merehatkan badan dan fikiran . Maka, bagi yang kebetulan berada di sini pada hari dan masa yang tepat (malam Khamis dan pagi Jumaat), Pasar Lambak Gua Musang sudah pastinya sesuatu yang tak dapat dilepaskan.

Apa yang istimewanya di sini ?

Di sini adalah syurga makanan dan kebudayaannya. Foto di bawah bakal menjadi tatapan pembaca untuk membuat kesimpulannya.


Kesedapan kerangupan char kueh dan roti goreng "Kak Ani-Wan Johan' sememangnya tak boleh dilepaskan tatkala perut memerlukan makanan ringkas waktu petang. Terpaku kami melihat kepantasan hasil kerjanya hinggakan tak sempat tangan melayan pelanggan.



Bagi keluarga yang bakal menyinggah untuk makan malam seharusnya terlebih dahulu memikirkan penambah selera mereka. Di pasar lambak ini terdapat lambakan petai segar dari hutan, buah kerdas, jering dan segala ulama-ulaman yang tak pernah kita dengar selama ini. Harus singgah demi ulaman herba khasiat pengubat penyakit.


Haji Abdul Jamil mee goreng kawah dengan gayanya yang unik tatkala mengaul tambahan mee kawah baru.


Buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar lambak ini adalah sangat segar kerana didatangi peniaga terus dari pelbagai pelusuk seperti Cameron Higland, Merapoh malah ada dari Raub.  Pasal harga memang tak payah cakap banyak, tengok sendiri harga tergantung(dalam gambar) pun dah tahu dah mahal ke murah.


Bagi mereka yang bercadang untuk malakukan aktiviti bbq pada malam hari , di sini terdapat bertan-tan ikan dan ayam segar pada harga peraih.


Beginilah meriahnya situasi di masar malam ini, view ini dari gerai Pok Joh apam balik dan murtabak.

Sebelum melangkah pulang kami berasa sangat puas dengan foto shot 'StreetPhotography' ini.  Inilah budaya gigih peniaga mencari makan walau anak hanya di sebelah tangan. Subhanallah.



Gua Musang, kami merinduimu.          

Wassalam.

Tuesday, December 24, 2013

#Restoran Bayu Lenang, Gua Musang : Menjamu #selera dan memancing dengan #panorama memukau mata.


Assalamualaikum.

Memandu berjam-jam dari Kuala Lumpur/Pantai Barat menuju ke Kelantan merupakan satu tugas yang agak mencabar kekuatan mental dan fizikal. Maka , singgahan Gua Musang adalah di pertengahan. Rasanya kalau pemandu dapat rebahkan sedikit badan atau ketenangan fikiran sangatlah diidamkan demi keselamatan.


Sebelum tibanya di Bandar Gua Musang (8-10km)dengan landmark hanya 200 meter sebelum pusat Pemeriksaan JPJ Tanah Puteh terdapat sebuah premis makan yang agak unik dengan konsep berehat dan makan sambil memancing. Premis ini adalah 'Restoran Bayu Lenang' bersempena dengan angin bayu sejuk menghembus melenangkan fikiran.



KLIK sini untuk rajah tepat dari Google Map.
Point koordinat GPSnya pula adalah 4.808711,101.968695

Apa yang istimewanya Restoran Bayu Lenang ini ?

Restoran Bayu Lenang ini adalah sangat sesuai untuk sekeluarga yang penat merehatkan badan. Di sini terdapat masakan panas yang lazat terutamanya menu berasaskan Thailand dan ala-Chinese pada harga rakyat yang sangat berpatutan .



Disamping itu juga, Restoran Bayu Lenang menyediakan pakej memancing yang menarik di atas sebuah kolam buatan dasar semulajadi yang berekar-ekar luasnya.

Nasib baik menyebelahi kami bila terserempak dengan An'ne yang telah mendaratkan beberapa ekor ikan jelawat yang dikatakan 'Raja Ikan' setaraf Ikan Kelah dari segi kesedapannya.



Bila kami tanyakan kepada Anne " Macammana kalau kami nak pancing"? . Dengan selamba dia menjawab, daftar dekat pengurus restoran bayar RM25 untuk tiga jam, lepas tu terus aje pancing". Semudah itu. Lantas kami pun berjumpa dengan pengurus restoran iaitu En. Korie untuk mendapat penjelasan.

En . Korie menjelaskan bahawa konsep Bayu Lenang adalah menikmati selera dalam panoramna yang mendamaikan bersama aktiviti memancing . Bayu Lenang kini dalam proses penstrukturan semula premis dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan.




Restoran Bayu Lenang memulakan operasi pada setiap hari bermula pada jam 3.00 petang hingga 12 tengah malam. Manakala aktiviti memancing ditutup pada hari Jumaat.

Yuran untuk memancing adalah hanya RM25 untuk 3 jam. Tiada had akan timbangan kecuali JIKA hasil tangkapan melebihi 10kg pihak pengurusan Bayu Lenang bersedia untuk membayar harga ikan INDUK tersebut demi menjaga populasi ikan dalam kolam.

Seperkara lagi jika pemancing memperolehi ikan dari kolam tersebut , restoran ini menyediakan khidmat masakan secara terus dan segar serendah harga RM9 untuk ikan seberat 1kg dan ke bawah (bergantung kepada kos atas berat masakan ikan) . Masakan seperti stim masak asam limau, masak tiga rasa sememangnya pilihan utama pelanggan.

Secara kesimpulannya, kami meletakkan bahawa premis ini adalah sangat sesuai untuk seisi keluarga menikmati hidangan , berehat menghirup udara segar dengan panorama gua batu kapur yang menakjubkan. Sambil-sambil bersentimental mengajar anak erti kesabaran memancing ikan.

Untuk tempahan sila hubungi pengurus Restoran Bayu Lenang , En Korie : 010-9192118 atau 01119977310

Bagi kami sebagai jurufoto pula cukuplah dengan panorama di sini yang memukau mata. Keindahan alam ciptaan Allah menjadi santapan.



Wassalam.

Nasihat perjalanan : Simpan joran pancing dalam but kereta sebelum ke Kelantan.

Saturday, December 21, 2013

#Restoran Dalam #Taman , Gua Musang - Menjamu #selera dalam kedamaian singgahan orang kenamaan tapi harga #rakyat.


Assalamualaikum,

Pastinya rakan sahabat ternanti-nanti akan entry tempat makan yang best di Gua Musang seperti yang dijanjikan. Maaf atas kelewatan.

Gua Musang adalah merupakan bandar pertama yang pastinya disinggahi oleh pelancong yang datang dari Kuala Lumpur dan Pahang. Ia merupakan bandar singgahan utama bagi mendapatkan bekalan petrol, makanan segera, rehatkan mata yang mengantuk(pemandu) dan sebagainya.

Dalam pada itu, kami dapati ramai pelancong sangat tergesa-gesa untuk sampai ke Kota Bharu walhal di Gua Musang inilah merupakan langkah pertama untuk destinasi Kelantan yang mengasyikan secara keseluruhannya.


Dengan itu kami memperkenalkan kepada anda 'Restoran Dalam Taman' yang tersohor di kalangan pembesar kerajaan namun pada harga rakyat.

Restoran ini terletak di Kampung Kundur , Jalan Cameron Highland ( hanya 200 meter dari Simpang Empat Taman Tropika)  yang hanya 3 km dari checkpoint Stesen Minyak Shell Bandar Baru Gua Musang.

KLIK sini untuk rajah yang jelas dari Google Map.
Manakala koordinat GPSnya pula adalah : 4.876078,101.94603

Restoran Dalam Taman ini merupakan suatu premis yang sedikit terpencil namun dengan masakan yang sedap harga yang berpatutan dan keunikan barang-barang purba seperti kayu-kayan dan batu-batuan unik sebagai penghias taman telah berjaya memikat hati pegawai besar kerajaan seperti YM Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Ahmad Maslan dan berdozen-dozen pengarah jabatan.  



Terdapat 3 kompartmen utama di premis ini :
1. Makan sambil bersila (Gambar yang teratas)
2. Makan di kerusi
3. Ruang pameran barangan unik oleh Kak Na (pemilik)

Manakala dari segi konsep penyediaan makanan adalah berupa percantuman budaya pemakanan Thailand (Masakan Panas) di sesuaikan dengan citarasa kelantan melalui ulam-ulaman hutan. Seperkara lagi, pelanggan juga boleh memesan masakan daging rusa untuk menu alternatif.


Menu ikan siakap masak asam limau. Harap tutup mulut dulu yer.



Ulam-ulaman segar tersedia untuk di cicah ke dalam budu bersama ikan bakar tawar.


Tom Yam yang menyelerakan.



Ikan koi besar-besar pun ada! Ish ish ish.....

Semasa membuat sesi live fotografi ini, kami dengan rasa terima kasih kepada seorang datuk pengarah dari sebuah agensi kerajaan bersama kakitangan pejabatnya kerana memberi kami kebenaran untuk merakamkan saat kemeriahan mereka menjamu selera. Terima kasih, maaf jika terganggu selera ketika menikmati jamuan(gambar bawah).

Restoran Dalam Taman ini diasaskan oleh sepasang suami isteri yakni Abah dan Kak Na pada 4 tahun yang lalu. Manakala waktu operasinya adalah bermula pada pukul 11.00 pagi hinggalah 12.00 tengah malam kecuali Jumaat.

Dari segi menu dan harga pula adalah sangat berpatutan . Harga rakyat . Pengunjung boleh memilih samada untuk memesan makanan secara pakej (ramai) atau secara individu.

Mungkin ada yang sangsi dengan harga pakej , kami jelaskan kepada anda supaya tiada timbul keraguan:


Jika ingin membuat tempahan awal mahupun tersesat ketika mencari lokasi sila hubungi pemilik :
Kak Na atau Kak Long : 017-9018672 atau 013-9351433



Up:
1. Pengarah Pelancongan Kelantan
2. Pengarah Tenaga Nasional Berhad(Kelantan) - Bantuan lampu jalan.

Saturday, December 14, 2013

#Kopitiam ke-3 , D'Klasik #White #Coffee , Bukan sekadar kopi, santapan daging rusa pasti menggamit selera.


Masyarakat bandar di sebelah pantai barat telah lama menjadikan kopitiam sebagai tempat menjamu selera, santai keluarga dan bersosial dalam apa jua bentuk perbincangan.



Di Kelantan, kami melihat ada beberapa buah kopitiam yang boleh dianggap master dalam menyediakan perkhidmatannya, salah satunya adalah 'Rangkaian kopitiam D'Klasik White Coffee' yang baru sahaja membuka cawangan yang ke 3 di Kota Bharu. Cawangan milik  bumiputera dan yang paling bongsu ini terletak di Jalan Hospital(Jalan Kadir Adabi), 500 meter dari trafik light Kg Cherang Cabang 4 Wau Bulan.

KLIK sini untuk rajah terus dari peta Google Map. Koordinat GPS nya pula adalah 6.124202,102.267339

D'Klasik White Coffee asalnya bermula dengan cemerlang di HUSM Kubang Kerian di mana ianya dikunjungi oleh para ilmuan, doktor , ahli politik dan sekalian pengunjung dari dalam dan luar negeri.  Premis tersebut beroperasi 24 jam 7 hari seminggu kecuali DKlasik Kota Bharu (blog), D'Klasik Wakaf Che Yeh yang berakhir pada 1.30 pagi. Satu permulaan yang baik bagi usahawan bumiputera.


Waktu operasi bermula pada pukul 7.30 pagi, para pelanggan boleh memulakan bicara perjalanan di sini sambil menikmati sarapan ringan roti kaya(homemade), telur separuh masak dan secawan kopi. Tatkala ini wifi sangat di perlukan untuk melayari arah tuju lokasi dan perancangan seterusnya percutian anda. Di sinilah tempatnya.

Kedudukan dan susunan antara meja adalah cukup lapang untuk santai menikmati kopi putih untuk perbincangan hatta privasi. Atmosfera di kopitiam ini sungguh mendamaikan.

 Jadi amat bertepatanlah dengan moto D'Klasik White House 'Rasailah ketenangan bersama rangkaian D'Klasik White Coffee'.

Kadangkala kita sebenarnya mungkin keliru dengan negatif yang mengatakan makan dan minum di kopitiam adalah sangat mahal. Namun bagi kami, dengan standard operasi (S.O.P) pengurusan, pensijilan halal, kebersihan , wifi,  servis dan segala yang di rasa pandang, sebagai ahli perniagaan ianya berhak untuk distandardkan.

Sebagai pelayan kami melanggan pembaca sebagai costumer. Boleh saya dapatkan order cik?


Persepsi tentang kopitam hanya menyediakan roti telur, nasi lemak seharusnya kita ubah, Dengan kepelbagaian makanan dan masakan Malaysia , kopitiam ini sebenarnya menyediakan banyak pilihan antaranya seperti makanan raja-raja dahulu kala , Daging Rusa Goreng Kunyit . Pastinya dalam hayat kita hanya sekali dua saja merasakannya , cuma sekarang diternak. Dengar juga kata orang-orang tua, daging rusa ini baik untuk khasiat kejantanan. Betul ker?



KLIK sini dan LIKE sebagai tanda sokongan kepada perniagaan D'Klasik White Cofee dan mungkin untuk sebarang komen dan aduan.

Wassalam


Friday, December 13, 2013

#Pasar #Malam HUSM Kubang Kerian , meriah dengan kepelbagaian.


Assalamualaikum,

Setelah berhari-hari mengalami fasa kehujanan di Kelantan, hari ini tampaknya tersenyum lebar para peniaga pasar malam menandakan rezeki mereka lebih murah pada malam ini.

Adalah sangat tidak adil jika page dan blog kami tidak memaparkan kemeriahan dan hebatnya citarasa penjaja dan peniaga pasar malam di Kelantan. Oleh itu, kami selitkan entry blog kawasan pasar malam yang mungkin tidak diketahui umum khususnya para pelancong sebagai satu sumbangan kebajikan kami . Insyaallah.

Pasar Malam HUSM Kubang Kerian adalah salah satu pasar malam yang terbaik di Kelantan dari aspek kebersihannya, kemeriahannya dan kepelbagaiannya. Tambahan pula kedudukannya yang sangat strategik bersebelah Pusat Perubatan tersohor HUSM dan di tengah megastore Nirwana Maju, Mydin Mall dan Jakel menjadikan ia top list pasar malam.

KLIK sini untuk mengetahui peta Google Map akan lokasinya. Manalaka ini koordinat GPSnya: 6.10053,102.279785

Pasar malam HUSM Kubang Kerian ini beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula jam 5.00 petang sehingga 10.00 malam. Pasal harga rasanya tak perlu lah nak diceritakan , di pasar malam ni ada RM10 pun dah kenyang dengan macam-macam.

Sebagai sokongan kepada gerai-gerai pilihan, kami highlightkan beberapa foto mereka. Kepada yang tak dipilih bukan bermakna tak baik tapi mungkin terlepas pandang dan kami belum mengenali akan masakan bak pepatah' tak kenal maka tak cinta. Kami mohon maaf. Mungkin ada jodoh berjumpa di blog entry yang akan datang.


Abang Lie Satay Lokching - Operasi jualannya adalah setiap hari di depan Supermarket Nirwana Maju dari tengahari hingga 7.00 malam. Sos pedas manisnya yang lembut , kesegaran dan pembakaran sempurna adalah kunci kesedapannya.


Karipap Abang Eyo memang terbaik, kerangupan yang berkrim kulit karipap dan isi kari ubi ataupun ayam mahupun sardin sangat mengujakan pabila menikmati santai senja bersama keluarga tersayang.


Kepada peminat asam, somtam ternanti-nanti akan kedatangan anda. Somtam Kak Aishah setanding dengan somtam dari Sungai Kolok.


Dah la smart , pandai pulak masak yong tau foo sedap memang terbaik jati diri anak muda Melayu Kelantan bijak cari makan. Patutlah kaum ramai kaum hawa jadi pelanggannya. Syabas buat Azmi Steamboat.


Jah Kebab dan Murtabak memang menyelerakan


Akhir sekali kami sangat seronok melihat telatah gerai Abang Zaha Kueh Tiaw Mee Goreng Kawah berceloteh tatkala mereka telah berkali-kali menggorengnya dikawahnya. Sold out katakan.

Akhir sekali, dalam proses sesi live fotografi kami di pasar malam , kami sangat teruja akan kemesraan dan celoteh rakan penjaja. Terima kasih kami ucapkan

Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tempat Makan Best Yang Lain Di Kelantan :

Get this widget