Monday, December 9, 2013

Umi #Nasi #Ulam #Budu Kepala Gertok Salor. #Selera #kampung umpama 'bekwoh' dahulu kala.


Assalamualaikum.

Teringat akan soalan yang ditujukan kepada Nujum Pak Belalang istilah ' jarang-jarang-jarang, kadang-kadang' , maka begitulah juga dengan premis makanan hebat ini - Umi Nasi Ulam Budu Kepala Gertok Salor. Sememangnya jarang sekali terdapat masakan seperti gulai siput daun kesom, lala goreng berlada, telur itik gulai kuning, sotong hitam,singgang daging , ikan bakar , ulam budu dan tak tahulah nak cakap apa lagi akan rating premis ini.  Sesetengah penduduk sekitar Pasir Mas melabelkan premis ini seperti tempat bekwoh makan gulai (kenduri).

Tapi di mana ya?



Ini lokasinya, KLIK sini untuk rajah peta dari angkasa Google Map. Ini koordinat GPSnya 6.033858,102.150361

Umi Nasi Ulam Budu Kepala Gertok Salor adalah sesuatu yang sukar untuk dilepaskan bila berkunjung ke Negeri Cik Siti Wan Kembang. Premis ini merupakan satu aset bernilai bagi mengembang dan mempertahankan citarasa rakyat Kelantan yang pelbagai.

Ia terletak di penghujung Dun Salor sebelum menyeberangi Jambatan Pasir Mas-Salor bilamana anda terpaksa melalui jalan pintasan Kota Bharu-Pasir Mas dalam anggaran 18.7 kilometer dari kota Bharu yang dalam perjalanannya lebih kurang 25 minit.

Jika terlepas pandang dan menaiki jambatan Pasir Mas jangan risau dan gelabah kerana Bulatan Lemal hanya di seberang sungai sahaja untuk U turn dan sebagai highlight lepas singgah makan nasi ulam budu Umi boleh datang sekali lagi ke Bulatan Lemal untuk membeli Ayam Percik Kak Jah yang hanya 100 meter dari bulatan itu. Bukannya apa, sekali harung, beli ayam percik simpan untuk makan malam keluarga di penginapan. Makan sejuk suam. Memang terbaik!!


Ops! inilah keadaan sebenar premis ini di waktu puncaknya yakni pada waktu makan tengahari antara pukul 1.00 tengahari hingga 2.30 petang.

Bila di tanya kepada sahabat dari Sarawak ini ,  makan budu ke bang ? jawabnya selamba 'tentu sekali bah , sodap!'

Apa lagi yang kami perlu kami jelaskan kepada pelancong yang melawat Kelantan melainkan pecah liur melihat gambaran sebenar keadaan dan makanan di sini . Mereka bergitu bersemangat menikmati hidangan, bab kata orang tua Kelantan 'Mertua lalu belakang pun tak hirau' khusyuk!! dengan cicahan ulaman mentah pegaga, petai(bermusim) , ulam raja, terung rebus dan bermacam lagi ke dalam budu yang di bancuh dengan tempoyak. Tak terdaya kami nak menjelaskannya.



Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kak Faridah bt Harun(owner) kerana memberi kebenaran membuat sesi fotograsi hingga sampai ke dalam kokpit peperangan menyediakan perkhidmatan antara pengunjung dan pekerja yang mesra.

Fuh! melihat akan servis mereka yang ibarat berpeluh sampai ke keting , kami memuji sikap mereka . Bersahaja dengan namun sangat aktif dalam gerak kerja. Jika kalau ada kesilapan, terlepas pandang atau terkasar , kami sangat memahami tugas mereka , memberi yang terbaik untuk pelanggan . Maafkanlah mereka .

Untuk makluman, Umi Nasi Ulam Budu Kepala Gertok ini di buka pada pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari kecuali Jumaat. Manakala harganya sangat berpatutan dengan citarasa Kelantan yang dipersembahkan. Harga bergantung kepada jenis lauk yang di ambil. Alah tak rugi punya. This is one of Kelantanese heritage yang tak tahu bila pula nak berkunjung menikmatinya.

Seperkara lagi, sebagai nasihat panduan perjalanan ketika bercuti adalah datang awal pagi bagi mengelakkan pertembungan dalam waktu puncak antara pengunjung luar Kelantan dan pelanggan tempatan yang setia demi mengelakkan kesesakan menunggu meja.

Wassalam.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tempat Makan Best Yang Lain Di Kelantan :

Get this widget