Showing posts with label Nasi Ulam. Show all posts
Showing posts with label Nasi Ulam. Show all posts

Thursday, February 6, 2014

Warung #Nasi #Ulam Cherang - Ibarat rasa #masakan ibu orang #Kelantan dahulu kala.


Assalamualaikum,

Pada musim cuti sekolah dan sambutan Tahun Baru Cina yang baru saja berlalu , kami dapati terdapat peningkatan yang agak ketara dari segi bilangan pelancong mengunjungi negeri ini . Terima kasih kami ucapkan dan segala kesulitan mohon dimaafkan. Insyaaallah , kami akan perbaiki akan kelemahan.


Kali ini, kami membawa anda ke sebuah 'Warung Nasi Ulam 'Cherang, Jalan Hospital menuju JPJ Panji, Kota Bharu yang boleh dilabelkan sebagai salah satu lagenda tempat makan orang Kelantan. Cherang? Masyarakat Kelantan  mengenali lokasi Cherang ini dengan label 'Cherang Wau Bulan ' kerana di sinilah letakknya replika wau bulan terbesar di Kelantan.
Perjalanan dari pusat bandar hanyalah mengambil masa 5 hingga 7 minit saja.

KLIK sini untuk rajah Google Maps dan koodinat GPSnya adalah 6.124338,102.271439




Nasi Ulam Cherang ini diasaskan oleh Abang Din dan Kak Nah pada tahun 1986 di mana waktu itu mereka memulakan perniagaan hanya dari sebuah warung 'kedai pati' dan kini Alhamdulillah mereka boleh menarik nafas lega.

Menjenguk masuk ke Warung Nasi Ulam Cherang sudah pastinya pelanggan tersenyum bilamana tersusun di atas meja penuh dengan daun kehijauan seperti ulam raja, petai, terung kecil, ulam pegaga, timun kecil dan kacang botol . Itu belum lagi tene , bendi, petai celor(rebus) yang sudah pastinya membuatkan anda pecah liur . Lantas dengan tu tak perlu tanya apa-apa lagi, ambil pinggan dan ambillah setakat mana mahu dan mampu anda memakannya. Layan diri. Amalan yang terbaik adalah jangan membazir , biar ngam-ngam licin sempurna.


Kecuali untuk lauk pauk pelanggan harus menunjukkan yang mana satu selera anda bermula dari ikan aya singgam, gulai lemak ikan talang (bergantung kepada stok sampai), kalau kena nasib ikan jemuduk dan ikan merah pun mantap. Gulai lemak daun kesom ikan keli dan sayur lemak putih pucuk paku bayam sudah pastinya mengetarkan jiwa bila berpalut dengan budu pedas asam limau diperisikan ikan bakar tawar . Orang kata apa ?? Peerghh!!!

Sebagai pemasinnya anda boleh memilih samada ikan keli, kembung, kerisi goreng , daging kicap , ayam masak berlada dan juga ikan percik. Fuh!! semuanya menyelera.  Terima kasih Kak Nah kerana memelihara citarasa.




Kekuatan premis ini adalah pada citarasanya. Rata-rata penggannya terdiri dari semua peringkat samada dari masyarakat kampung atau pun dari pegawai tinggi kerajaan mahupun dari mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Aziz bin Nik Mat singgah di sini.

Warung Nasi Ulam ini beroperasi pada setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Manakala dari segi harga cukuplah dengan dapat kami katakan hidangan untuk gambar yang teratas tak sampai RM20 untuk dua orang makan. Premis pada harga rakyat . Berbaloi.

Selain itu , kami juga sangat-sangat menantikan Ramadhan menjelang tiba kerana membolehkan kami membuat sesi fotografi akan satu lagi keistimewaan Warung Nasi Ulam Cherang ini iaitu 'COLEK' . Di sini adalah rajanya.


Wassalam


     

Monday, December 9, 2013

Umi #Nasi #Ulam #Budu Kepala Gertok Salor. #Selera #kampung umpama 'bekwoh' dahulu kala.


Assalamualaikum.

Teringat akan soalan yang ditujukan kepada Nujum Pak Belalang istilah ' jarang-jarang-jarang, kadang-kadang' , maka begitulah juga dengan premis makanan hebat ini - Umi Nasi Ulam Budu Kepala Gertok Salor. Sememangnya jarang sekali terdapat masakan seperti gulai siput daun kesom, lala goreng berlada, telur itik gulai kuning, sotong hitam,singgang daging , ikan bakar , ulam budu dan tak tahulah nak cakap apa lagi akan rating premis ini.  Sesetengah penduduk sekitar Pasir Mas melabelkan premis ini seperti tempat bekwoh makan gulai (kenduri).

Tapi di mana ya?



Ini lokasinya, KLIK sini untuk rajah peta dari angkasa Google Map. Ini koordinat GPSnya 6.033858,102.150361

Umi Nasi Ulam Budu Kepala Gertok Salor adalah sesuatu yang sukar untuk dilepaskan bila berkunjung ke Negeri Cik Siti Wan Kembang. Premis ini merupakan satu aset bernilai bagi mengembang dan mempertahankan citarasa rakyat Kelantan yang pelbagai.

Ia terletak di penghujung Dun Salor sebelum menyeberangi Jambatan Pasir Mas-Salor bilamana anda terpaksa melalui jalan pintasan Kota Bharu-Pasir Mas dalam anggaran 18.7 kilometer dari kota Bharu yang dalam perjalanannya lebih kurang 25 minit.

Jika terlepas pandang dan menaiki jambatan Pasir Mas jangan risau dan gelabah kerana Bulatan Lemal hanya di seberang sungai sahaja untuk U turn dan sebagai highlight lepas singgah makan nasi ulam budu Umi boleh datang sekali lagi ke Bulatan Lemal untuk membeli Ayam Percik Kak Jah yang hanya 100 meter dari bulatan itu. Bukannya apa, sekali harung, beli ayam percik simpan untuk makan malam keluarga di penginapan. Makan sejuk suam. Memang terbaik!!


Ops! inilah keadaan sebenar premis ini di waktu puncaknya yakni pada waktu makan tengahari antara pukul 1.00 tengahari hingga 2.30 petang.

Bila di tanya kepada sahabat dari Sarawak ini ,  makan budu ke bang ? jawabnya selamba 'tentu sekali bah , sodap!'

Apa lagi yang kami perlu kami jelaskan kepada pelancong yang melawat Kelantan melainkan pecah liur melihat gambaran sebenar keadaan dan makanan di sini . Mereka bergitu bersemangat menikmati hidangan, bab kata orang tua Kelantan 'Mertua lalu belakang pun tak hirau' khusyuk!! dengan cicahan ulaman mentah pegaga, petai(bermusim) , ulam raja, terung rebus dan bermacam lagi ke dalam budu yang di bancuh dengan tempoyak. Tak terdaya kami nak menjelaskannya.



Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kak Faridah bt Harun(owner) kerana memberi kebenaran membuat sesi fotograsi hingga sampai ke dalam kokpit peperangan menyediakan perkhidmatan antara pengunjung dan pekerja yang mesra.

Fuh! melihat akan servis mereka yang ibarat berpeluh sampai ke keting , kami memuji sikap mereka . Bersahaja dengan namun sangat aktif dalam gerak kerja. Jika kalau ada kesilapan, terlepas pandang atau terkasar , kami sangat memahami tugas mereka , memberi yang terbaik untuk pelanggan . Maafkanlah mereka .

Untuk makluman, Umi Nasi Ulam Budu Kepala Gertok ini di buka pada pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari kecuali Jumaat. Manakala harganya sangat berpatutan dengan citarasa Kelantan yang dipersembahkan. Harga bergantung kepada jenis lauk yang di ambil. Alah tak rugi punya. This is one of Kelantanese heritage yang tak tahu bila pula nak berkunjung menikmatinya.

Seperkara lagi, sebagai nasihat panduan perjalanan ketika bercuti adalah datang awal pagi bagi mengelakkan pertembungan dalam waktu puncak antara pengunjung luar Kelantan dan pelanggan tempatan yang setia demi mengelakkan kesesakan menunggu meja.

Wassalam.  

Sunday, December 1, 2013

#Nasi #Ulam Cikgu . Citarasa #Kelantan mengharap keberkatan..


Assalamualaikum, seribu mohon maaf diucapkan kerana buat sahabat yang ternanti-nanti akan maklumat tentang kedai makan best di negeri Kelantan. Untuk makluman Kelantan dan Pantai Timur kini mengalami musim tengkujuh, oleh itu sesi fotografi kami mengalami kesulitan untuk menghasilkan imej yang baik untuk dipertontonkan.

Nasi Ulam Cikgu, satu nama gah dalam peta pelancongan Kelantan yang membawa citarasa dan budaya Kelantan ke pecah liur seluruh rakyat Malaysia yang pernah menikmatinya.

Nasi Ulam Cikgu ini terletak di tengah-tengah pusat bandar Kota Bharu , di Kampung Kraftangan hanya 200 meter dari Pasar Besar Siti Khadijah. Kawasan ini suatu ketika dahulunya adalah kawasan Istana Di Raja Kelantan.

KLIK sini untuk rajah jelas dari Google Map.
Koordinat GPS Google Map adalah 6.13185,102.237781
 
Nasi Ulam Cikgu di pilih sebagai 'MAIN COURSE' kerana pada pendapat kami, jiwa nasi ulam ini adalah datang dari nenek moyang orang Kelantan yang sudah pastinya BUDU adalah latarbelakang citarasanya.

Meyusur masuk ke dalam laman premis ini, sudah pastinya pengunjung merasa agak kekok kerana premis ini terletak di bawah rumah dihiasi dengan larik-larik kayu menarik bagaikan sebuah istana.


Jangan segan dan silu kerana laman Muzium Kraftangan Kelantan adalah merupakan laman awam . Menjengah masuk di bawah rumah inilah sudut paling sibuk mengaul rencah budu yang sudah pastinya memecah liur anda.


Pilihlah ikut mana yang suka dari ikan keli goreng, asam pedas patin Kelantan Style, sayur lemak putih, ayam koreng ketul besar dan sebagainya. Manakala dari segi ulamnya pula ada ulam mentah dan ulam celor (rebus) yang sudah pastinya berdebar hati untuk melayani 'celup petak'(cicah) piring budu yang bakal dibancuh mengikut kesenian rasa masing-masing.

Bertuahnya tadi bila dapat merakamkan aksi penuh semangat cik abang kita memerah asam limau ke dalam budu yang telah bercampur putik pauh yang diricih halus.

Perghhh!!! di sinilah sebenarnya arkitek rasa budu sedang merencanakan keseniannya. Ummmpphhh! Speechless!!


Terdengar jua satu kajian penyelidik yang menyatakan budu mempunyai anti-oksidan yang tinggi dan baik untuk awet muda. Jangan terpikatlah pulak , takut jauh nak ulang alik.

Waktu operasi Restoran Nasi Ulam Cikgu ini adalah pada setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 11.00 pagi, waktu kemuncak pada pukul 12.30 tgh sehingga 2.30 petang hinggalah penutupnya 5.00 petang.

Harga makanan di sini adalah sangat-sangat berpatutan dengan layanan dan persembahan  makanan yang diberikan . Kalau ada RM5.00 pun dah dapat makan kenyang jika keseorangan. Manakala yang datang dalam satu kumpulan 5-6 orang, set promosi penuh satu meja dengan harga RM45 adalah sukar untuk di lepaskan. KLIK dan LIKE sebagai tanda sokongan kepada Facebook Page 'Restoran Cikgu Nasi Ulam' . Pelbagai maklumat ulam-ulaman boleh kita dapati dari fanpage  ini.

Inilah gambaran penuh kehebatan premis ini yang terpaksa membuat pembesaran kerana tak tertampung kapasiti bawah rumah yang mahsyur tu.



Sebagai satu penghargaan tertinggi keusahawanan makanan Melayu Kelantan , kami amat berbesar hati untuk menampilkan wajah orang yang dikenali dengan nama Cikgu atau nama sebenarnya Abdul Hamid bin Deris sebagai contoh usahawan berjaya dalam bidang makanan dan minuman dalam memartabatkan budaya Kelantan. Subhanallah.


Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tempat Makan Best Yang Lain Di Kelantan :

Get this widget