Showing posts with label Kota Bharu. Show all posts
Showing posts with label Kota Bharu. Show all posts

Sunday, September 13, 2015

#Warung Kak Pah Nasi #Ikan Aya belakang TNB , pilihan marhaen si pencari rezeki .


Assalamualaikum .

Apa khabar sekalian pengunjung Fanpage Kedai Makan Best Di Kelantan . Rasanya sudah agak lama tidak bersua . Harap maaf atas sebab-sebab yang tak boleh dielakkan .



Sebagai pendahuluan memulakan penulisan , kami sebagai marhean pencari tempat makan yang sedap mengenegahkan Warung Nasi Berlauk Ikan Aya Kak Pah Belakang TNB yang sememangnya telah lama di kenali oleh warga peniaga penjaja dan kakitangan awam di kawasan pasar Siti Khadijah , Kota Bharu . Lokasinya terletak betul-betul persimpangan lorong belakang TNB Kota Bharu . Jika mana yang menggunakan aplikasi WAZE masukkan kod no  GPS ini maka ia akan memandu arah anda 6.129599,102.238496 ke lokasi . KLIK sini untuk gambaran jelas dari Google Street View .



Kami sebenarnya telah lama bermundar mandir di kawasan pasar Siti Khadijah ini namun tak tersinggah pulak untuk ke sini, maklumlah kalau pagi tu bersusun orang menunggu giliran bungkus untuk di bawa pulang . Entah , pada suatu hari seorang kawan lama memesan bungkus nasi berlauk gulai ikan aya belakang TNB dengan kuah campur sambal tumis telur rebus maka di situlah detik jatuh cintanya kami dengan nasi berlauk di sini . Namun tak di nafikan bahawa setiap orang mempunyai citarasa dan selera masing-masing oleh itu warung ini menyediakan juga nasi dagang Kelantan style , nasi berlauk ayam goreng, ikan keli goreng dan pelbagai lagi. Orang Kelantan kata banyak pilihan , buleh doh la buat isi perut waktu pagi memulakan carian rezeki .

Warung Nasi Berlauk Kak Pah atau nama sebenarnya Puan Syarifah Zakaria telah memulakan operasi sejak 15 tahun yang lalu .Kini perniagaan beliau dibantu oleh anak-anaknya sebagai peneman dan pewaris perniagaan. Perniagaannya bermula setiap hari pada pukul 7.30 sehingga 11.00 pagi bergantung kepada stok yang tinggal. Pendek kata perniagaannya adalah jenis 'siapa cepat dia dapat , tak mboh tunggu-tunggu' .

Akhir kalam , kami di Fanpage kedai Makan Best Di Kelantan mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke bumi Kelantan . Segala kekurangan dari pihak kami mohon harap dimaafkan . Kini , kami meneruskan penulisan blog ini hanya sebagai sumbangan sosial kami kepada para pelancong yang bertandang ke bumi Kelantan tanpa haluan yang jelas dan tepat .

Assalamualaikum.

Monday, May 26, 2014

#Nasi #Kerabu Singgam #Daging Kamariah/Taliair Bt 11 #Ketereh menggamit nostalgia asli #makanan #Kelantan


Assalamualaikum.

Anak Kelantan mana yang tak kenal dengan menu makanan nasi kerabu, singgam daging, ikan rebus goreng dan daging bakar garam kunyit? Manakala bagi pelancong yang pertama kali berkunjung ke Kelantan pula harus mencubanya sebagai satu penanda aras akan citarasanya, mana tahu bila pulang ke negeri kediaman cuba-cuba memasaknya?

Kali ini, kami menunjuk arah anda ke sebuah premis klasik kampung yang menyediakan hidangan nasi kerabu singgam daging iaitu premis Kamariah Nasi Kerabu atau dengan nama popular  lain Nasi Kerabu Tali Air Batu 11 Ketereh.  Premis ini terletak kira-kira hanya 400 meter dari Balai Bomba Ketereh di jalan menuju ke Kota Bharu.

KLIK sini untuk rajah Google Maps atau masukkan koordinat ini 5.973066,102.250112 ke dalam mana-mana aplikasi GPS anda seperti Waze dan sebagainya.



Sememengnya, kini amat jarang untuk kita menjumpai hidangan klasik sebegini kerana kaedah pembuatannnya agak kompleks dan mengambil masa. Hidangan nasi kerabu bersama semangkuk singgam daging dengan lauk daging bakar ataupun ikan rebus goreng adalah sesuatu yang cukup mengiurkan bagi pengemar selera kampung . Oleh itu, tak hairanlah premis yang agak terhad kapasitinya menjadi tumpuan singgahan rakyat seharian.



Premis Kamariah Nasi Kerabu/ Nasi Kerabu Tali Air Batu 11 ini dimiliki oleh Puan Normawati binti Yusuff dengan panggilan mesranya Kak Ma telah menjalankan operasinya sejak lebih 12 tahun yang lalu. Ianya beroperasi pada setiap hari termasuk Jumaat bermula pada pukul 7 pagi hingga 2 petang kecuali bulan Ramadhan dan hari-hari kecemasan.


Harga yang ditawarkan untuk sepinggan nasi kerabu bersama semangkuk singgam daging pula kami anggapkan antara yang
terendah di pasaran yakni hanya lebih kurang RM5.00 satu hidangan walhal daging dan urat lembu tempatan yang digunakan mencecah RM23 sekilogram. Untuk tambahan sepinggan daging bakar, ikan rebus goreng  dan lauk -lauk lain hanya dikenakan RM3.00 sepinggan.

Di manakah lagi kita ingin dapatkan harga yang lebih baik dari ini? . Oleh itu, tak hairanlah premis ini mendapat kunjungn pelbagai bangsa untuk menikmatinya hinggakan ada yang terpaksa menunggu dalam kereta sehinggalah ada meja kosong tersedia.

Bagi kami , keistimewaan makanan Kelantan itu bukan pada rupa kecil besar premisnya tetapi pada rasa.

Sunday, May 18, 2014

Lido Corner atau #Nasi #Sup Tepi #Sungai #citarasa unggul walau bersesakan hanya untuk sesuap kenikmatan.


Assalamualaikum.

Nasi sup merupakan satu identiti makanan universal khususnya masyarakat Asia tak kiralah samada Melayu , India , Cina, Jepun dan lain-lain. Masing-masing mempunyai identiti dan citarasa yang tersendiri dan yang pastinya semua lapisan bangsa menyukainya.

Kami membawa anda ke premis Lido Corner atau dengan panggilan lain Nasi Sup Tepi Sungai Kota Kharu yang boleh kami anggap sebagai premis otai di Kelantan. Lokasi premis ini adalah di selekoh 90 darjah Jalan Post Office Lama bersebelahan Hotel Grand Riverview yang mashyur di Kota Bharu.

KLIK untuk rajah peta Google Maps manakala GPSnya adalah 6.12793,102.234333

Nasi Sup Tepi Sungai atau nama rasminya Lido Corner ini dinamakan bersempena tapak pawagam Lido yang tersohor pada era 70an 80an dahuku. Premis ini adalah merupakan sebuah warung kecil kepunyaan En Mahadi bin Harun yang mengusahakannya sejak lebih 22 tahun.

Apakah rahsia dan keistimewaan nasi sup tepi sungai ini?

Premis Lido Corner berkonsepkan layan diri sepenuhnya menyediakan hanya 1 menu utama yakni nasi sup daging gred A samada daging musir ataupun pangkal peha bercampur sedikit urat dan lemak dengan pilihan sampingan 3 jenis lauk iaitu 1. daging bakar, 2. ayam bakar 3. kari ikan. Pelanggan yang berkunjung boleh membuat pilihan samada memilih untuk pakej lengkap sup berisi dengan pilihan lauk yang berharga RM10.00 atau sup kosong dengan lauk berharga RM6.00 bagi memenuhi selera makan tengahari.

Bagi yang pertama kali berkunjung menjamu selera di sini, daging dan ayam bakar seharusnya dicampurkan colek (sos) manis bagi menjamin rasanya sebati bila makan bersama nasi dan sup. Sememangnya makan dengan pakej lengkap pasti mengundang ingatan untuk kembali buat kali keduanya.

Selain itu , pengunjung juga di harap dapat menyesuaikan diri dan jangan ambil hati dengan konsep sepenuhnya layan diri kerana kapasiti dan ruang makan adalah terhad. Namun mungkin kerana keunikan itulah jua premis ini hingga bertahan  untuk sekian lama.  




Lido Corner memulakan operasi pada setiap hari kecuali hari Jumaat bermula jam 12.30 tengahari hingga 5.30 petang. Manakala bagi pelanggan yang inginkan sedikit kelegan dinasihatkan elakkan waktu puncak pada pukul 1.00 hingga 2.30 petang kerana pada waktu tersebut premis ini amat sesak dengan pelanggan tetap dari pejabat kerajaan dan swasta di sekitar pusat bandar ini.

Selamat menjamu selera.

Sekian.

Saturday, April 12, 2014

Nasi #Lemak Kopi-O , lembut rasa #sambal dan lemaknya #nasi, pasti rela berjaga malam untuk menikmati.


Assalamualaikum,

Nasi lemak merupakan satu entiti makanan Melayu yang paling digemari oleh rakyat Malaysia , tak kiralah India, Cina, Kadazan Dusun semua menggemarinya.  Malah mana-mana premis nasi lemak yang benar-benar sedap boleh menjadi kebanggaan masyarakat sekitarnya.

Hari ini kami memperkenalkan kepada anda Nasi Lemak Kopi-O 1 PAGI (perubahan kini 5 petang-2 pagi) yang pastinya memberikan anda senyuman hingga ke tidur lena. Premis ini terletak hanya 200 meter dari HUSM Kubang Kerian di Jalan Sultanah Zainab 1, Kampung Demit yang dalam anggarann 15 minit perjalanan dari Pusat Bandar Kota Bharu.

KLIK sini untuk rajah Google Maps dan GPS koordinatnya ialah 6.102786,102.280816 



Premis Nasi Lemak Kopi-O pukul 5 petang amat unik kerana masa pengoperasiannya bermula pada pukul 5 petang. Pabila di tanyakan kepada pemilik premis ini yakni Abang Meor dan isteri , mereka menyatakan dengan rendah diri yang mereka ini orang baru dan dengan pembukaan awal pagi mereka pasti kurang mendapat saingan dan amat kena bagi premis mereka bagi memenuhi keperluan dan selera kakitangan dan pelawat HUSM malah sekalian masyarakat sekitarnya .

 
Namun, bagi kami yang merupakan pelanggan tetap Nasi Lemak Kopi-O sejak 4 tahun lalu, kami sememangnya sangat berselera dengan citarasa lembut manis pedas resepi rahsia sambalnya , lemak nasinya dan kurang masin ayam goreng celup tepungnya.... aduh!!  mengetar jiwa sesiapa yang menikmatinya.



Pada waktu kami mengadakan sesi fotografi ini yakni pada lebih kurang pukul 3.00 pagi, pelanggan tetap yang keras mata tak lena tidur masih lagi sedang rancak berdiskusi. Maklumlah persekitan premis yang bersih dan suasana malam yang agak dingin ditambah pula dengan kunyahan citarasa lembut pastinya bermacam-macam cerita timbul dari bertan-tan idea awal pagi.



Premis Nasi Lemak Kopi-O menyediakan asas menu yang cukup ringkas yakni nasi lemak + ayam goreng celup tepung hanya berharga RM5.00 sahaja. Jika mana-mana pelanggan yang inginkan penambahan lauk pauk seperti sambal sotong, sambal kerang , sambal sardin dan telur goreng , penambahan hanya pada harga pasaran bahan mentah masing-masing.

Nasi Lemak Kopi-O beroperasi pada setiap hari kecuali hari Isnin bermula pukul 5 petang hingga 2 pagi . Kadang kala ianya 'sold-out' lebih awal, oleh itu datanglah awal-awal lagi.

Kesimpulannya , kami cukup puas hati dengan citarasa makanan di sini, malah kami yakin, jika ada peluang dan masa yang lebih, pastinya perniagaan Abang Meor bersama isteri boleh pergi lebih jauh lagi. Insyaallah

Tuesday, March 4, 2014

#Kopitiam Kita , pelbagai #budaya satu #citarasa. #Roti titab , nasi air dingin dan macam-macam ada.


Assalamualaikum,

Setelah berminggu-minggu kesibukan menguruskan rutin harian anak sekolah akhirnya sempat juga kami mencelah untuk meneruskan perjalanan dalam menjejaki dan menginformasi kedai makan yang terbaik di Kelantan.

Kopitiam Kita , satu nama yang ringkas dan mudah , seiring dengan namanya 'KITA' bermaksud semua kelompok tak kira Melayu , Cina , India , Siam dan sebagainya bertandang di sini untuk menikmati sarapan pagi bagaikan sebuah keluarga besar. Macam-macam ada.

Lokasi Kopitiam Kita sebenarnya dekat dengan pusat bandar namun agak terselindung. Panduan utama untuk sampai ke sini adalah dengan mencari landmark New Pacifik Hotel, Jalan Pengkalan Chepa . Resetkan speedometer kereta anda dan sampai saja titik 250 meter maka berpalinglah ke kiri , di hujung bangunan komersial terdapat selekoh , belok kiri maka anda sudah tiba.


Singgah di Kopitiam Kita tatkala menghabiskan masa percutian adalah satu pengalaman yang pastinya tak dapat dilupakan tatkala dapat bersama pelbagai bangsa bersembang mesra loghat Kelate .

KLIK sini untuk rajah Google Map dan GPS koordinatnya adalah 6.129493,102.24939




Pelbagai gelagat dapat dilihat bila anda memasuki premis ini, ianya melambangkan keselesaan mereka dengan kebersihan dan ruang yang ditampilkan walaupun sibuk dengan pelanggan.

Pelanggan yang sudah biasa di sini setiap pagi semestinya mengidamkan sajian 'Roti Titab' dan secawan kopi pekat di atas meja. Pilihan roti goreng telur dan telur separuh masak juga sangat menyelerakan.



   
Ada sahabat Facebook yang bertanya , Apakah maksud 'Roti Titab' itu ? . 'Roti Titab' adalah hasil cetusan resepi pemiliknya sendiri iaitu Mr. N,H Wong dan jenama 'Roti Titab'  hanya di Kopitiam Kita sahaja. Ianya hakcipta terpelihara.

Makanan lain yang sedia terhidang layan diri adalah nasi air dingin, nasi nasi lemak, nasi tumpang dan pelbagai jenis kuih muih yang diperoleh terus dari pembekal yang diyakini.

Kopitiam Kita yang berkonsepkan sarapan santai ini pernah di kunjungi oleh selebriti Datuk Siti Nurhaliza, Lisa Surihani dan Yusri , pemain bolasepak antarabangsa dan ramai lagi . Kebanyakan foto dari celebriti tersebut terpampang di barisan layan diri sebagai tatapan pengunjung dan kenang-kenangan peribadi pemilik premis ini.

Premis di buka pada setiap hari kecuali bulan puasa dan hari raya. Ia beroperasi seawal jam 7.00 pagi sehingga 1.30 tengahari sahaja. 
   
Pasal hal harga, kopitiam ini kami anggapkan antara yang terbaik di negeri ini.

Kebetulan pada hari tu , sahabat Mr. Wong datang berkunjung dan sebagai tanda kenangan foto ini adalah permintaannya.


Komen kami adalah : Nikmat penghabisan makan roti titab memang mantap!!.

Wassalam.

Sunday, February 23, 2014

Chempaka #Ikan #Bakar air asam , citarasa #klasik #rakyat #Kelantan


Assalamualaikum,

Setelah sekian lama, kami menerima pertanyaan dari rakan facebook berkenaan dengan premis ikan bakar yang murah dan sedap di negeri Kelantan , akhirnya kami membuat penampilan sulung mengenainya.

Sebagai pengenalannya , eloklah dulu kita memahami akan jenis ikan bakar yang biasanya dikomersialkan. Terdapat 2 jenis masakan ikan bakar yakni ikan bakar air asam dan ikan bakar berempah. Ikan bakar air asam adalah ikan segar yang di bakar tawar terus untuk dicicah bersama air perahan asam limau/jawa manakala ikan bakar berempah dibakar bersama rempah ratus rahsia yang telah dikisar didalam foil aluminium atau daun pisang di atas kuali leper panas.


Kali ini, kami membawa anda untuk merasai citarasa klasik rakyat Kelantan yakni premis Chempaka Ikan Bakar air asam yang terletak di Kampung Dusun Raja , Kota Bharu Kelantan.

KLIK sini untuk rajah Google Maps dan GPS tepat lokasinya adalah 6.131349,102.272739


Premis Chempaka Ikan Bakar dimiliki oleh Kak Ti dan Abang Li yang telah 5 tahun menjalankan perniagaannya . Premis ini dalam proses penambahbaikan dalam memenuhi kepuasan pengunjung yang setia datang.

Variasi ikan segar bakar yang dihidangkan di sini adalah seperti ikan siakap, bawal, kembung , cencaru , ikan selar , kerapu, sotong, kerang dan bermacam-macam lagi. Ke semua sumber ikan tersebut diperoleh terus dari sumber nelayan sekitar Pantai Sabak dan Tok Bali setiap hari.



Cara basa menikmati ikan bakar air asam ini adalah cukup ringkas, di mana ikan bakar di cicah ke dalam air asam yang cukup sederhana rasa asamnya atau pelanggan boleh memilih untuk mencicah isi ikan kedalam piring sambal belacan yang di campur dengan kicap kipas udang menjadikannya mulut bersiul dan peluh di dahi menjadi ukuran tahap kesedapannya . Manakala nasi putih panas sememangnya cukup rasi dengan kuah ikan singgang ,budu dan ulam, sungguh klasik seperti santapan orang tua Kelantan di zaman silam.

Dalam proses penambahbaikan premis ini, pelanggan juga boleh menunaikan solat kerana pemilik telah menyediakan sebuah bilik untuknya. Suasana di sini agak nyaman kerana trafik yang agak lengang ditambah pula dengan kicauan burung peliharaan pemiliknya.

Chempaka Ikan Bakar di buka 6 hari seminggu bermula pada pukul 5.00 petang sehingga 2 pagi kecuali 1 hari cuti yang dipersetujui bersama antara majikan dan kakitangannya.

Harga yang di tawarkan pula adalah berpatutan mengikut berat timbangan dan jenis ikan yang dipilih pelanggan . Kaitan gambar yang teratas adalah cukup jelas untuk pertimbangan pelanggan. Dengan ikan kembung seberat 200 gram bernilai RM5.00 , kuah+ikan singgang, sambal belacan+Kicap kipas udang, budu dan ulam adalah hanya 8-9 sahaja. Rasanya cukup berbaloi memandangkan harga ikan kembung mentah segar di pasaran pun RM14 sekilogram.

Kesimpulannya, dengan merasai citarasa klasik ringkas unik ini , pelanggan boleh menilai akan jatidiri rakyat Kelantan itu sendiri. Insyaallah

Wassalam.

Saturday, February 15, 2014

Warung #Milo Tunggeng - Budaya Kedai Pat'ti menjadi stesen sosial #rakyat #Kelantan


Assalamualaikum.

'Warung' adalah nama standard bagi kedai kopi kecil di seluruh negara namun jika pengunjung bertandang ke Kelantan perkataan warung adalah sangat jarang digunakan, hanyalah kedai kopi atau kedai pat'ti sahaja yang dipertuturkan.

Terdapat ratusan kedai pat'ti berselarakan di seluruh Kelantan dan kini kami membawa anda ke Warung Milo Tunggeng yang popular di kalangan warga Kota Bharu. Warung Milo Tunggeng ini terletak di Jalan Dusun 2 , Belakang Hospital Pakar Perdana dan Hotel Perdana . Jaraknya pula dari Pasar Siti Khadijah hanya lebih kurang 1 km yang mengambil masa 5 minit perjalanan.

KLIK sini untuk paparan imej Google Maps dan koordinat GPSnya pula adalah 6.120431,102.242814

Pelik! Kenapa warung ini di namakan Warung Milo Tunggeng ?. Biarkan gambar yang berbicara.


Warung ini diasaskan oleh arwah Abdullah bin Ali yang menjadikan produk minuman Milo dalam tin (Original)sebagai entiti minuman utama walaupun milo paket dijual pada harga yang lebih murah dan mudah. Namun di sini, kualiti milo tersebut menjadi keutamaan demi kepuasan pelanggan. Al-Fatihah. Kini legasi 20 tahun Milo Tunggeng, di teruskan oleh anaknya yakni Abang Man Milo Tunggeng yang bersedia melayan kunjungan anda. Namun, apa yang istimewanya premis ini?




Boleh dikatakan hampir keseluruhan rakyat Kelantan amat-amat suka untuk singgah di kedai pat'ti kerana di sini makanannya adalah murah dan siap bungkus kepada siapa yang lorat untuk bergegas ke pejabat. Menjimatkan masa.

 
Makanan yang telah siap bungkus pula adalah berasal dari penduduk sekitar , yang mana aktiviti kedai pat'ti ini mewujudkan peluang ekonomi menang-menang sesama ummah. Di antara makanan yang di sediakan di sini adalah nasi berlauk ayam, daging, nasi lemak , nasi kampit , satay , nasi tumpang dan pelbagai kuih muih.


Selain itu, di sebalik makanan yang sedap dan murah , kedai pat'ti juga merupakan stesen hebahan maklumat penting rakyat Kelantan, di mana kemesraan mereka berputik dari pelbagai agenda seperti isu sukan, isu politik malah skandal . Jadi tak hairanlah kebanyakan wartawan Sinar Harian , Harakah, Utusan dan sebagainya bertandang ke kedai pat'ti untuk cetusan idea penulisan mereka .



Warung Milo Tunggeng ini beroperasi setiap hari kecuali hari Jumaat , ianya bermula pada pukul 6.30 pagi hingga 5.00 petang.

Pasal harganya pula , adakah pengunjung mahu berkira-kira dengan harga makanan RM 1, RM2 dan RM3.  Bagi kami, dengan bermodalkan RM5-RM6 sudah cukup memenuhkan ruang perut kami dengan nasi berlauk , milo tabur dan telur separuh masak . Alhamdulillah , penuh sarat dan sumber informasi pagi rakyat secara live .

Wassalam.

Thursday, February 6, 2014

Warung #Nasi #Ulam Cherang - Ibarat rasa #masakan ibu orang #Kelantan dahulu kala.


Assalamualaikum,

Pada musim cuti sekolah dan sambutan Tahun Baru Cina yang baru saja berlalu , kami dapati terdapat peningkatan yang agak ketara dari segi bilangan pelancong mengunjungi negeri ini . Terima kasih kami ucapkan dan segala kesulitan mohon dimaafkan. Insyaaallah , kami akan perbaiki akan kelemahan.


Kali ini, kami membawa anda ke sebuah 'Warung Nasi Ulam 'Cherang, Jalan Hospital menuju JPJ Panji, Kota Bharu yang boleh dilabelkan sebagai salah satu lagenda tempat makan orang Kelantan. Cherang? Masyarakat Kelantan  mengenali lokasi Cherang ini dengan label 'Cherang Wau Bulan ' kerana di sinilah letakknya replika wau bulan terbesar di Kelantan.
Perjalanan dari pusat bandar hanyalah mengambil masa 5 hingga 7 minit saja.

KLIK sini untuk rajah Google Maps dan koodinat GPSnya adalah 6.124338,102.271439




Nasi Ulam Cherang ini diasaskan oleh Abang Din dan Kak Nah pada tahun 1986 di mana waktu itu mereka memulakan perniagaan hanya dari sebuah warung 'kedai pati' dan kini Alhamdulillah mereka boleh menarik nafas lega.

Menjenguk masuk ke Warung Nasi Ulam Cherang sudah pastinya pelanggan tersenyum bilamana tersusun di atas meja penuh dengan daun kehijauan seperti ulam raja, petai, terung kecil, ulam pegaga, timun kecil dan kacang botol . Itu belum lagi tene , bendi, petai celor(rebus) yang sudah pastinya membuatkan anda pecah liur . Lantas dengan tu tak perlu tanya apa-apa lagi, ambil pinggan dan ambillah setakat mana mahu dan mampu anda memakannya. Layan diri. Amalan yang terbaik adalah jangan membazir , biar ngam-ngam licin sempurna.


Kecuali untuk lauk pauk pelanggan harus menunjukkan yang mana satu selera anda bermula dari ikan aya singgam, gulai lemak ikan talang (bergantung kepada stok sampai), kalau kena nasib ikan jemuduk dan ikan merah pun mantap. Gulai lemak daun kesom ikan keli dan sayur lemak putih pucuk paku bayam sudah pastinya mengetarkan jiwa bila berpalut dengan budu pedas asam limau diperisikan ikan bakar tawar . Orang kata apa ?? Peerghh!!!

Sebagai pemasinnya anda boleh memilih samada ikan keli, kembung, kerisi goreng , daging kicap , ayam masak berlada dan juga ikan percik. Fuh!! semuanya menyelera.  Terima kasih Kak Nah kerana memelihara citarasa.




Kekuatan premis ini adalah pada citarasanya. Rata-rata penggannya terdiri dari semua peringkat samada dari masyarakat kampung atau pun dari pegawai tinggi kerajaan mahupun dari mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Aziz bin Nik Mat singgah di sini.

Warung Nasi Ulam ini beroperasi pada setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Manakala dari segi harga cukuplah dengan dapat kami katakan hidangan untuk gambar yang teratas tak sampai RM20 untuk dua orang makan. Premis pada harga rakyat . Berbaloi.

Selain itu , kami juga sangat-sangat menantikan Ramadhan menjelang tiba kerana membolehkan kami membuat sesi fotografi akan satu lagi keistimewaan Warung Nasi Ulam Cherang ini iaitu 'COLEK' . Di sini adalah rajanya.


Wassalam


     

Monday, January 27, 2014

#Restoran By-T #Laksam Special - Snek #rakyat #Kelantan tak kira siang dan malam.


Assalamualaikum,

Laksam, anak Kelantan mana yang tak kenal laksam ?. Bagi kami , mengenali rasa laksam adalah sangat mudah tetapi membuatnya adalah payah. Kenapa kami berkata begitu?

Laksam merupakan suatu produk makanan yang masih menggunakan sepenuhnya kaedah tradisional, di mana tepung beras yang telah dibancuh sempurna dikukus di atas tudung periuk selama beberapa minit di dalam kukusan bertingkat pastinya mengambil masa untuk menyiapkannya. Tambahan kuahnya pula terdiri dari santan pekat dimasak bersama cebisan ikan yang direbus sempurna rasa. Sebab itulah laksam tiada nama lain di belakangnya. Laksam adalah laksam. Hanya di Kelantan.

Kali ini kami membawa anda ke sebuah kedai makan yakni Restoran By-T Laksam Special di Jalan Panchor-Panji (Jalan Raja Perempuan Zainab II)  , Pengkalan Chepa . Lokasi restoran ini adalah lebih kurang 9 km dari Lapangan terbang Sultan Ismail Petra dimana pengunjung perlu menempuhi jalan kawasan Perindustrian Padang Tembak.

KLIK sini untuk lokasi Google Map dan titik GPSnya adalah 6.13216,102.303676



By-T Laksam adalah suatu nama yang agak pelik. Namun setelah sejam di premis ini, sempatlah kami menanyakan akan asal usulnya. Pemilik premis ini adalah Puan Suriana bt Hamzah . Beliau menyatakan bahawa nama By-T ini, diambil sempena anak sulung pertama mereka iaitu Siti Nor Baiti bt Zamri . Satu nama yang cantik. Kak Na telah menjalankan perniagaan laksam ini selama 18 tahun.


Sejurus kami menjalankan sesi fotografi, premis ini dikunjungi oleh seorang pegawai polis trafik yang memperkenalkan laksam By-T kepada pegawai atasannya. Kami sungguh teruja dan bila ditanya kepada Kak Na akan senario ini, Kak Na hanya tersenyum merendah diri. Kak Na menceritakan bahawa suatu ketika dahulu orang dari istana pun pernah menempah laksam untuk santapan Tuanku Sultan Ismail Petra Al-Sultan Kelantan . Selain itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah mengirimnya tatkala rasa mulut ingin nikmati laksam. Kami pun jua turut tersenyum.

Ditanya akan apakah resepi untuk menjadikan kuah lemak laksam begitu berjeliro . KaK Na hanya menjawab 'Kuahnya yang sederhana pekat , extra santan dan extra ikan , pastikan ianya segar' . Itu saja . Manakala ikan yang paling sedap untuk kuah adalah ikan selayang .

Restoran By-T Laksam Special ini memulakan operasi setiap hari kecuali Sabtu manakala waktu operasinya adalah bermula pada pukul 2.00 petang hingga 10.30 malam. Harga laksam special (telur puyuh dan sambal daging) adalah RM 3.50 manakala biasa adalah RM2.50 .

Selain dari laksam , pengunjung juga boleh membuat pilihan untuk menikmati Laksa Kelantan Kuah Lemak, Laksa Penang dan Nasi Kerabu.

Kami pasti jika anda membawa anak kecil menikmmati laksam pastinya mereka adalah orang yang paling gembira. Slllrrruupppp!!

Wassalam  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tempat Makan Best Yang Lain Di Kelantan :

Get this widget