Assalamualaikum.
Anak Kelantan mana yang tak kenal dengan menu makanan nasi kerabu, singgam daging, ikan rebus goreng dan daging bakar garam kunyit? Manakala bagi pelancong yang pertama kali berkunjung ke Kelantan pula harus mencubanya sebagai satu penanda aras akan citarasanya, mana tahu bila pulang ke negeri kediaman cuba-cuba memasaknya?
Kali ini, kami menunjuk arah anda ke sebuah premis klasik kampung yang menyediakan hidangan nasi kerabu singgam daging iaitu premis
Kamariah Nasi Kerabu atau dengan nama popular lain
Nasi Kerabu Tali Air Batu 11 Ketereh. Premis ini terletak kira-kira hanya 400 meter dari Balai Bomba Ketereh di jalan menuju ke Kota Bharu.
KLIK sini untuk rajah Google Maps atau masukkan koordinat ini
5.973066,102.250112 ke dalam mana-mana aplikasi GPS anda seperti Waze dan sebagainya.
Sememengnya, kini amat jarang untuk kita menjumpai hidangan klasik sebegini kerana kaedah pembuatannnya agak kompleks dan mengambil masa. Hidangan nasi kerabu bersama semangkuk singgam daging dengan lauk daging bakar ataupun ikan rebus goreng adalah sesuatu yang cukup mengiurkan bagi pengemar selera kampung . Oleh itu, tak hairanlah premis yang agak terhad kapasitinya menjadi tumpuan singgahan rakyat seharian.
Premis
Kamariah Nasi Kerabu/ Nasi Kerabu Tali Air Batu 11 ini dimiliki oleh Puan Normawati binti Yusuff dengan panggilan mesranya Kak Ma telah menjalankan operasinya sejak lebih 12 tahun yang lalu. Ianya beroperasi pada setiap hari termasuk Jumaat bermula pada pukul 7 pagi hingga 2 petang kecuali bulan Ramadhan dan hari-hari kecemasan.
Harga yang ditawarkan untuk sepinggan nasi kerabu bersama semangkuk singgam daging pula kami anggapkan antara yang
terendah di pasaran yakni hanya lebih kurang RM5.00 satu hidangan walhal daging dan urat lembu tempatan yang digunakan mencecah RM23 sekilogram. Untuk tambahan sepinggan daging bakar, ikan rebus goreng dan lauk -lauk lain hanya dikenakan RM3.00 sepinggan.
Di manakah lagi kita ingin dapatkan harga yang lebih baik dari ini? . Oleh itu, tak hairanlah premis ini mendapat kunjungn pelbagai bangsa untuk menikmatinya hinggakan ada yang terpaksa menunggu dalam kereta sehinggalah ada meja kosong tersedia.
Bagi kami , keistimewaan makanan Kelantan itu bukan pada rupa kecil besar premisnya tetapi pada rasa.