Sunday, February 23, 2014

Chempaka #Ikan #Bakar air asam , citarasa #klasik #rakyat #Kelantan


Assalamualaikum,

Setelah sekian lama, kami menerima pertanyaan dari rakan facebook berkenaan dengan premis ikan bakar yang murah dan sedap di negeri Kelantan , akhirnya kami membuat penampilan sulung mengenainya.

Sebagai pengenalannya , eloklah dulu kita memahami akan jenis ikan bakar yang biasanya dikomersialkan. Terdapat 2 jenis masakan ikan bakar yakni ikan bakar air asam dan ikan bakar berempah. Ikan bakar air asam adalah ikan segar yang di bakar tawar terus untuk dicicah bersama air perahan asam limau/jawa manakala ikan bakar berempah dibakar bersama rempah ratus rahsia yang telah dikisar didalam foil aluminium atau daun pisang di atas kuali leper panas.


Kali ini, kami membawa anda untuk merasai citarasa klasik rakyat Kelantan yakni premis Chempaka Ikan Bakar air asam yang terletak di Kampung Dusun Raja , Kota Bharu Kelantan.

KLIK sini untuk rajah Google Maps dan GPS tepat lokasinya adalah 6.131349,102.272739


Premis Chempaka Ikan Bakar dimiliki oleh Kak Ti dan Abang Li yang telah 5 tahun menjalankan perniagaannya . Premis ini dalam proses penambahbaikan dalam memenuhi kepuasan pengunjung yang setia datang.

Variasi ikan segar bakar yang dihidangkan di sini adalah seperti ikan siakap, bawal, kembung , cencaru , ikan selar , kerapu, sotong, kerang dan bermacam-macam lagi. Ke semua sumber ikan tersebut diperoleh terus dari sumber nelayan sekitar Pantai Sabak dan Tok Bali setiap hari.



Cara basa menikmati ikan bakar air asam ini adalah cukup ringkas, di mana ikan bakar di cicah ke dalam air asam yang cukup sederhana rasa asamnya atau pelanggan boleh memilih untuk mencicah isi ikan kedalam piring sambal belacan yang di campur dengan kicap kipas udang menjadikannya mulut bersiul dan peluh di dahi menjadi ukuran tahap kesedapannya . Manakala nasi putih panas sememangnya cukup rasi dengan kuah ikan singgang ,budu dan ulam, sungguh klasik seperti santapan orang tua Kelantan di zaman silam.

Dalam proses penambahbaikan premis ini, pelanggan juga boleh menunaikan solat kerana pemilik telah menyediakan sebuah bilik untuknya. Suasana di sini agak nyaman kerana trafik yang agak lengang ditambah pula dengan kicauan burung peliharaan pemiliknya.

Chempaka Ikan Bakar di buka 6 hari seminggu bermula pada pukul 5.00 petang sehingga 2 pagi kecuali 1 hari cuti yang dipersetujui bersama antara majikan dan kakitangannya.

Harga yang di tawarkan pula adalah berpatutan mengikut berat timbangan dan jenis ikan yang dipilih pelanggan . Kaitan gambar yang teratas adalah cukup jelas untuk pertimbangan pelanggan. Dengan ikan kembung seberat 200 gram bernilai RM5.00 , kuah+ikan singgang, sambal belacan+Kicap kipas udang, budu dan ulam adalah hanya 8-9 sahaja. Rasanya cukup berbaloi memandangkan harga ikan kembung mentah segar di pasaran pun RM14 sekilogram.

Kesimpulannya, dengan merasai citarasa klasik ringkas unik ini , pelanggan boleh menilai akan jatidiri rakyat Kelantan itu sendiri. Insyaallah

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tempat Makan Best Yang Lain Di Kelantan :

Get this widget